Friday, December 17, 2010

kisah burung hud hud part 2


hoopoeHud Hud…hanyalah seekor burung.
Apa mesej Allah kepada kita daripada kisah Hud Hud ini?
Ini adalah atas kefahaman saya.
Bahawa Allah seolah-olah inginkan kita, saya, anda dan mereka yang katanya nak perjuangkan Islam ni, ukur usaha kita dibandingkan dengan Hud Hud, seekor burung. Sedangkan kita manusia, makhluk mulia ciptaan Allah. Tugas untuk makmurkan muka bumi ini juga, atas kita. Bukan makhluk lain.
Bagi saya, Kisah Hud Hud ini, bukan kisah biasa. Ia kisah yang penuh makna hinggakan Allah pilih untuk abadikan jasa Hud Hud di dalam kitab-Nya. Subhannallah!
Kita semua kena ingat, bahwa Hud Hud hanya seekor burung. Saiznya juga kecil. Bukan sehebat Helang mahupun Rajawali. Di akhirat kelak, burung tidak akan dihisab. Burung tidak ada buku catitan. Bahkan ketika di dunia lagi, burung tidak terbeban dengan dosa atau pahala. Itulah burung, jauh besar bezanya dengan manusia.
Apa usaha Hud Hud, sampai Allah s.w.t rakamkan kisahnya di dalam Al-Quran?
Hud Hud telah beri maklumat kepada Nabi Sulaiman a.s tentang adanya sekumpulan manusia yang tidak menyembah Allah s.w.t. di satu kawasan. Akhirnya, dengan maklumat itu, telah berjaya mengislamkan Permaisuri Balqis, Ketua Negeri Saba’ dan kaumnya.
Ya, lihatlah. Seekor burung telah menjadi asbab kepada Islamnya sebuah negara yang Kafir. Maha Besar Allah.
Jika difikirkan, Allah s.w.t Maha Kuasa untuk mewahyukan sahaja kepada Nabi Sulaiman a.s tentang kerajaan Saba’ ini. Tapi, Allah pilih Hud Hud, sebagai asbab untuk memberitahu Nabi Sulaiman a.s tentangnya. Hud Hud bukannya manusia, juga bukan jin. Tapi seekor haiwan spesis burung yang kecil.
Pada saya, inilah antara dalil bahawa dakwah ini, adalah ditegakkan dengan usaha. Usaha umat itu sendiri. Bukannya semata-mata Islam ini agama yang benar, ia akan tegak dengan sendiri. Maka, tugas utama kita adalah mencari asbab, hidayah itu tetap milik Allah s.w.t.
Islam bukan agama magis. Maksudnya, disebabkan Islam itu agama pilihan Allah s.w.t, maka ia akan terus jadi hebat. Tidak. Umat Islam itu sendiri yang bertanggungjawab untuk tegakkan Islam.Inilah kefahaman yang difahami oleh para sahabat r.a dan salafus soleh. Hidup mereka, sepenuhnya untuk dakwah.
Ya, memang benar. Islam pasti akan menang jua akhirnya. Beriman bahawa Islam akan pasti menang , itu sebahagian daripada akidah. Itu saya jelas.
Cuma, persoalannya ialah, apa usaha kita ke arah kemenangan Islam itu? Cup…anda tak perlu sebut pada saya. Saya yakin, masing-masing ada hujah tersendiri.
Apapun, bagi saya, biarlah amal dakwah kita yang bersungguh-sungguh itu menjadi jawapan terbaik untuk membenarkan dakwaan kita, yang katanya nak hidup untuk dakwah. Moga benar kata-kata indah itu.
Ini kisah Hud Hud. Kisah kita bagaimana pula?

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger